Minggu, 20 April 2025

Catatan Ibnu Batuta: Tawalisi, Kailukari, Kisah Puteri Urduja

Silahkan bagikan :
۞ Ψ§Ω„Ψ³َّΩ€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω„Ψ§َΩ…ُ ΨΉَΩ„َيْΩ€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€ΩƒُΩ…ْ وَΨ±َΨ­ْΩ…َΩ€Ω€Ψ©ُ Ψ§Ω„Ω„Ω€Ω€Ω€Ω€Ω‡ِ وَΨ¨َΨ±َΩƒَΨ§ΨͺُΩ€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω‡ُ ۞
۞ Ψ¨Ψ³Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω… Ψ§Ω„Ω„ّΩ€Ω€Ω€Ω‡ Ψ§Ω„Ψ±ّΨ­Ω…ٰΩ† Ψ§Ω„Ψ±ّΨ­ΩŠΩ€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω€Ω… ۞
-----------------------------------------------------------------------

 


Kami seterusnya tiba di negeri Tawalisi dan rajanya juga bernama Tawalisi. Ia merupakan sebuah negeri yang luas dan rajanya sama seperti raja China. Baginda memiliki jong yang banyak dan digunakan untuk memerangi penduduk China sehinggalah mereka memohon pendamaian daripada baginda, dengan syarat-syarat yang tertentu.

 

Penduduk negeri Tawalisi ialah penyembah berhala dan memiliki rupa paras yang menawan. Mereka menyerupai orang Turki dari segi bentuk dan raut wajah. Selain itu, pada kulit mereka terdapat tompok merah. Mereka juga merupakan orang yang berani dan gagah. Kaum wanita mereka menunggang kuda dan pandai memanah di samping turut berperang, sama seperti lelaki. Kami singgah di salah sebuah pelabuhan mereka di Kailukari yang merupakan kota mereka yang paling cantik dan paling besar. Di situlah juga putera raja mereka tinggal. Apabila kami berlabuh di pelabuhan, tentera mereka pun datang. Nakhoda kapal turun menemui mereka dan membawa bersama-sama dengannya hadiah untuk putera raja. Apabila nakhoda bertanya tentang putera raja kepada mereka, mereka pun memberitahu beliau bahawa ayahndanya melantik putera tersebut sebagai pemerintah di tempat yang lain dan melantik puteri baginda yang bernama Urduja sebagai pemerintah kota itu.

 

Pada hari kedua ketibaan kami di Pelabuhan Kailukari, puteri itu menjemput nakhuzah iaitu nakhoda yang juga pemilik kapal, karani iaitu jurutulis, saudagar dan pembesar-pembesar disamping tandil iaitu panglima tentera berjalan kaki serta sabah salar iaitu panglima kumpulan pemanah untuk menghadiri jamuan yang disediakan untuk mereka, mengikut adatnya. Nakhoda kapal mahu supaya aku turut hadir bersama-sama dengannya tetapi aku enggan kerana mereka ialah orang kafir dan aku tidak boleh memakan makanan mereka. Apabila semua orang tiba di sisi baginda, puteri itu pun bertanya kepada mereka, “Adakah sesiapa lagi antara kamu yang tidak hadir?” Nakhoda pun manjawab, “Yang tinggal hanyalah seorang lelaki iaitu seorang bakhsyi (yang bermaksud ‘Kadi’ dalam bahasa tempatan). Beliau tidak memakan makanan penduduk di sini.” Puteri Urduja pun bertitah, “Panggillah dia ke mari!” Pengawal-pengawal puteri pun datang bersama-sama dengan rakan-rakan nakhoda kepadaku dan berkata, “Penuhilah jemputan tuan puteri.” Oleh itu, aku pun menemui Puteri Urduja yang sedang meraikan majlisnya yang meriah dan hebat.

 

 

 

Baca juga, Mural ‘Puteri Urduja’ di San Francisco

 

 

 

Di hadapan Puteri Urduja, ada wanita-wanita yang memegang tali kekang dan mereka merentangkannya untuk baginda. Sementara di sekeliling baginda pula ada kaum wanita yang duduk dan mereka ialah wazir-wazir wanita. Mereka duduk di bawah katil iaitu di atas kerusi yang diperbuat daripada cendana. Seterusnya di hadapan Puteri Urduja ada kaum lelaki. Tempat duduk Puteri Urduja dihampari oleh sutera dan di atasnya digantungkan tirai daripada sutera. Sementara kayunya pula ialah cendana dan terdapat juga kepingan emas di atas tempat duduk tersebut. Selain itu, ada juga bangku-bangku kayu yang berukir, di atasnya terdapat banyak perkakas yang diperbuat daripada emas dan bersaiz besar serta kecil seperti teko, perhiasan-perhiasan kecil selain cawan. Nakhoda memberitahuku bahawa ia dipenuhi oleh sejenis minuman yang dibuat daripada gula dan dicampur dengan herba. Orang ramai meminumnya selepas makan dan ia berbau harum serta manus rasanya. Di samping itu, minuman tersebut juga menyegarkan tubuh, mengharumkan bau nafas, menghadamkan makanan dan membantu hubungan jenis.

 

Apabila aku mengucapkan salam kepada puteri, baginda bertitah dalam bahasa Turki, “Hasan misan yakhsya misan (khusymisan yakhsyimisan),” yang bermaksud, “Apa khabar dan bagaimana keadaan kamu?” Baginda mendudukkanku berhampiran dengannya. Puteri Urduja juga pandai menulis tulisan Arab. Baginda bertitah kepada salah seorang khadamnya, “Dawat wabitka katuz.” Katuz bermaksud ‘dakwat’ dan ‘kertas’. Dakwat dan kertas pun dibawa kepada baginda dan aku menulis, “Bismillahirrahmanirrahim.” Puteri Urduja lantas bertanya, “Apakah ini?” Aku pun memaklumkan kepada baginda, “Tandarinam,” dan ia bermaksud ‘nama Allah’. “Baginda bertitah pula, “Khasyan,” yang bermaksud ‘baik’. Kemudian puteri bertanya kepadaku, “Dari mana kamu datang?” Aku pun memberitahunya, “Dari negeri India.” Baginda bertanya lagi, “Negeri lada hitam?” Jawabku, “Ya, tuanku!” Seterusnya baginda bertanya kepadaku tentang negeri itu dan kisah-kisahnya. Aku pun menceritakan semuanya. Kemudian Puteri Urduja bertitah, “Beta mesti memerangi negeri tersebut dan menjadikannya sebagai milik beta kerana sesungguhnya beta berasa kagum dengan harta serta tenteranya yang banyak.” Aku pun berkata kepadanya, “Lakukanlah, tuanku!” Seterusnya Puteri Urduja memerintahkan supaya aku dikurniai baju, beras sebanyak dua muatan yang dipikul oleh gajah, dua ekor kerbau, sepuluh ekor kambing, empat ratl air mawar dan empat martaban iaitu jag besar yang dipenuhi oleh halia, lada, limau, serta mangga. Semuanya telah diasinkan dan ini adalah antara barang yang disediakan untuk berlayar.

 

Nakhoda kapal memberitahuku bahawa Puteri Urduja mempunyai kumpulan wanita, khadam perempuan dan jariah-jariah yang berperang seperti kaum lelaki dalam pasukan tenteranya. Baginda sendiri keluar dengan pasukan tentera itu yang terdiri daripada kaum lelaki dan wanita lalu melancarkan serangan ke atas musuh baginda. Baginda turut terlibat dalam pertarungan antara seorang dengan seorang, bersama-sama dengan pahlawan. Nakhoda juga turut memberitahuku bahawa peperangan yang sengit telah berlaku antara puteri tersebut dengan beberapa orang musuhnya dan banyak tentera yang terkorban. Mereka hampir-hampir tewas lalu baginda mara sendiri ke barisan hadapan dan menembusi barisan tentera. Akhirnya baginda tiba di sisi raja yang diperanginya. Puteri Urduja lantas melontarkan lembing yang menyebabkan raja tersebut terbunuh dan tenteranya raja itu tertewas. Kemudian Puteri Urduja membawa pulang kepala raja tersebut dengan hujung lembing dan kerabat baginda telah melucutkan dari lembing itu dengan nilai harga yang tinggi.

 

Setelah Puteri Urduja pulang ke pangkuan ayahndanya, baginda dilantik oleh ayahndanya sebagai pemerintah di kota yang sebelumnya berada di bawah kekuasaan saudara lelakinya. Nakhoda turut memberitahuku bahawa ada antara putera raja yang melamar Puteri Urduja tetapi baginda bertitah, “Beta tidak akan berkahwin melainkan dengan seseorang yang dapat bertarung dengan beta dan menewaskan beta.” Mereka tidak menyahut cabaran untuk bertarung dengan baginda kerana takut akan kecelakaan yang akan menimpa diri seandainya baginda dapat menewaskan mereka.

 


*Disalin dari; Syed Nurul Akta Syed Abdullah, Adi Setia Mohd Dom (Penterjemah). Pengembaraan Ibn Batuta Jilid 2: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia. (Selangor: MPH Group Publishing Sdn. Bhd. 2014. Hak Cipta Karya Terjemahan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia – IKIM), h. 248 – 287.

 

 

 

*Namun perbahasan akhir mengenai diri Urduja belum ditamatkan lagi secara sempurna walaupun di wikipedia, ditulis Urduja adalah puteri kebanggaan warga Filipina sehingga Puteri Urduja dimuatkan di dalam buku teks sekolah sebagai seorang dalam senarai list of great Filipinos. Malah Filipina berusaha menanam ‘Urduja’ berasal dari sana sehingga di wilayah Pangasinan di gedung pengadilan di Lingayen dinamakan “Urduja House” dan sebuah patung Puteri Urduja berdiri di Ratus Kepulauan Taman Negara di sana.

 

*Galeri Kuala Krai mempersembahkan Puteri Urduja yang berada di Kuala Krai pada ketika kedatangan Ibnu Batuta. Kaylukari yang dicatat oleh Ibnu Batuta dinisbahkan dengan Kuala Krai. Selain itu, galeri mempersembahkan penemuan tapak pemerintahan Urduja di Gunung Cinta Wangsa melalui kajian arkeologi yang dilakukan oleh beberapa individu aktivis sejarah.


Sumber : DISINI


۞ Ψ§Ω„Ψ­Ω…Ψ― Ω„Ω„Ω‡ Ψ±Ψ¨ّ Ψ§Ω„ΨΉٰΩ„Ω…ΩŠΩ† ۞

-----------------------------------------------------------------------

0 comment:

Posting Komentar

۞ PETA LOKASI Rumahku ۞
۞ MEDIA - SOSIAL ۞